Wednesday 24 May 2017

Kisah Viral, Tabayyun & Agihan Zakat

Zaman sekarang ni, antara word paling in ialah viral, atau dalam kata lainnya, tular, isu-isu yang tengah hot, tengah trending, yang sana-sini orang sembang pasal tu. Rasanya setiap hari ada jer berita yang diviralkan. 

Viral ni biasanya kalau berita-berita negatif cepat sungguh orang sebarkan. Dapat-dapat jer terus share. Kadang tu, tengok balik, yang tukang share tu bukannya baca berita tu sampai habis pun. Ada jugak berita dah viral tu tak sepenuhnya pun dari berita asal. Maklumat tak lengkap tapi sibuk jugak nak share.

Sepatutnya, kalau kita dapat berita tu, baca bagi habis, hadam dan fahamkan. Kalau kita rasa betul, bolehlah share. Kalau ragu-ragu baik jangan share. Dalam zaman akhir zaman ni, rasanya banyak sangat berita yang meragukan dan boleh mengundang fitnah.

Tabayyun tu pulak apa? Biasa dengar tak? Atau pernah dengar tak? Kalau tanya saya..Saya pun tak tau sebenarnya apa benda tabayyun ni.

Tabayyun ni bahasa Arab untuk viral ke?

APA ITU TABAYYUN?

Tabayyun sebenarnya berasal dari perkataan Arab dan ditafsirkan oleh Para Ulama' dengan maksud menyemak kesahihan. Kesahihan ini biasa dikaitkan dengan penyampaian berita. Berita disampaikan dalam pelbagai saluran komunikasi seperti lisan, penulisan, media bercetak, secara online dan sebagainya. Untuk perkongsian kali ni kita fokus pada media sosial. Media sosial pada era sekarang, sangat-sangat meluas penggunaannya

Imam Asy Syaukani Rahimahullah berkata, "Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya." (Fathul Qadir, 5:65)

KENAPA MESTI TABAYYUN?

Dalam zaman sekarang, capaian kepada berita sangat mudah, perkongsian berita itu juga sangat-sangat mudah. Biasanya, tak menyempat-nyempat semua kita nak share, berpegang pada prinsip Sharing is Caring.

Tapi...apakah kita tentu sah maklumat yang kita share tu betul dan boleh disebarkan? Bimbang-bimbang maklumat salah, disebarluaskan, akibatnya, memberi impak negatif.
Sharing is caring without checking may lead to Sharing is Scary...


 
 
KAITAN TABAYYUN DAN AGIHAN ZAKAT?

Berita seharusnya diteliti dahulu kebenarannya bagi mengelakkan sebarang agenda tidak baik yang menjurus kepada fitnah, penipuan dan memburukkan sesuatu pihak.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfiman dalam Surah al-Hujurat ayat 6;

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kami tidak menimpakan fasik membawa sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: Ayat 6)

Imam Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut, ayat di atas diturunkan kepada al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq.

Dalam kisah ni, al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'ith ni sebenarnya utusan yang dihantar oleh Rasulullah tapi dia membawa berita palsu yang kutipan zakat tak dapat dibuat sebab Bani Mustaliq nak bunuh dia, sedangkan sebenarnya dia yang takut. Bani Mustaliq baru memeluk agama Islam dan ingin menunaikan zakat. Bani tersebut yang menunggu kedatangan Rasulullah untuk mengutip zakat, mula tak berpuas hati bila takde sapa jumpa dengan mereka untuk kutipan. 

Disebabkan tak puas hati, wakil Bani Mustaliq berjumpa dengan Rasulullah. Semasa pertemuan tersebut, Rasulullah bagitahu bahawa Baginda telah menghantar utusan. Setelah diselidiki lebih lanjut, barulah terbongkar bahawa al-Walid tadi dah menyampaikan berita palsu berkenaan Bani Mustaliq. Percanggahan berita tersebut dari situasi sebenar boleh mengundang kemarahan pihak yang berhubung.

Sebagai penyampai berita, seseorang itu juga harus bertanggungjawab ke atas berita yang disampaikan olehnya.

Keadaan seumpama di atas boleh kita kaitkan dengan situasi yang berlaku sekarang. Perkara berkenaan agihan zakat yang amat-amat dituntut dalam Islam, Lembaga Zakat berperanan membuat agihan zakat. 

Contoh yang pernah viral adalah tuduhan di media sosial yang mengatakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) lambat memberi zakat kepada keluarga yang terpaksa duduk di bawah jambatan. Hakikatnya, maklumat tak sampai kepada pihak LZS.



Kalau kita tengok kat FB page LZS, ada netizen yang bagi komen yang lebih kurang macam ni,

“Ada asnaf ni susah, anak ramai, rumah berlubang, itu ini. Pegila cari dorang tu"

Ada jugak yang komen, “Saya ada kawan muaalaf, Zakat tolonglah bagi bantuan…”

Tu jer ke? Takde langsung maklumat sebenar pasal asnaf tu. Macammana agaknya Lembaga Zakat nak carik mereka-mereka ni? Lembaga Zakat ni ada kuasa ke atau gajet nak detect asnaf ni ada kat mana? Kalau ada bolehlah buat macam kita guna Waze nak carik tempat kita nak pergi.

Cubalah bagi details, nama penuh, nombor kad pengenalan, lokasi tepat di mana mereka tu berada, nombor untuk dihubungi kalau ada dan boleh jugak ditambah dengan gambar (sebagai bukti). Hubungi pihak LZS melalui saluran yang betul.

Adakalanya, LZS tidak mendapat info berkenaan insan-insan yang memerlukan bantuan tapi dengan semberono telah dituduh tidak menjalankan tugas.  

Apa kata, sebagai orang awam yang berhati mulia, sama-sama kita bantu LZS dengan memberikan info yang lengkap tentang yang memerlukan. Janganlah semata-mata menjerit dalam media sosial. Kalau setakat menularkan berita di media sosial bukanlah satu jalan penyelesaian.

Cuba kita bandingkan jugak, dah berapa banyak sumbangan zakat yang telah sampai kepada asnaf dengan asnaf yang masih tak terima bantuan? Lembaga Zakat tak pernah sekat untuk agih zakat pada mana-mana asnaf pun sebab duit tu memang hak asnaf. Bantu lah pihak Zakat untuk membantu golongan yang memerlukan. Lepas ni, kita viralkan lebih lagi berita positif yer....

Berita yang tak betul mencemar imej LZS dan menyusahkan agihan dibuat kepada insan yang memerlukan. TABAYYUN lah dahulu sebelum menyampaikan berita berkenaan tindakan LZS.

Terima kasih kepada yang menyokong Zakat Selangor. MEMBANTU mereka yang memerlukan adalah peranan dan tanggungjawab kita bersama.

#zakatselangor
#samamembantu
#semaksebelumsebar
#zakat

Ingat tau, TABAYYUN, Semak Sebelum Sebar.


2 comments:

  1. gambar dkt kaitan tabayyun tu lari..kna btl kan...:)

    ReplyDelete
  2. Bagus maksud tabayyun...jgn berprasangka buruk. Good sharing

    ReplyDelete