Tuesday, 17 April 2018

Semua Orang Boleh Menulis, tapi...


Menulis? Hari-hari buat kot.. 

Yer, baca tajuk pun rasanya semua orang tau, semua orang boleh menulis. Memanglah boleh selagi orang tu tahu dan mempunyai keupayaan untuk menulis. Tapi, tahukah kita bahawa tak semua orang boleh menulis dengan baik? Untuk menulis dengan baik, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan dalam penulisan.

Apa yang dimaksudkan dengan menulis dengan baik? Haaa...itu aku pun nak tau.... Walaupun dah berpuluh tahun aku menulis tapi tak pernah ambik kursus dalam penulisan kreatif. Sebelum ni pernah lah ambik subjek penulisan masa zaman universiti dan bengkel penulisan laporan, tapi itu adalah cara belajar penulisan formal. Penulisan kreatif ini lebih kepada penghasilan karya dalam bentuk buku. Wow...lepas ni bolehlah aku menulis novel. Hehe...Insyaallah kalau ada rezeki.

Beberapa minggu sudah aku dan rakan-rakan Kelab Blogger Ben Ashaari berpeluang menimba ilmu dengan dua orang Penulis tersohor. Seorang ialah penulis buku novel seram yang ditulis berdasarkan pengalaman hidup beliau sendiri, iaitu Zulkifli Ahmad  Idrus atau lebih dikenali sebagai APAK.Salah satu karya terkemuka beliau ialah Mata Tak Berhijab. Seorang lagi ialah penulis Zamri Mohammad yang merupakan ahli Malaysian Writers Movement.

Lokasi Bengkel Penulisan KBBA9 kali ini bertempat di sebuah bangunan yang cantik dan menarik iaitu MATIC Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


 
Penulis jemputan pertama yang berkongsi ilmu ialah APAK.Tips yang dikongsikan lebih kepada bagaimana untuk membentuk struktur dan kandungan penulisan kita.

Apak menyampaikan dengan gaya bapak-bapak (sesuai dengan nama panggilannya kan?), tenang dan bersahaja. Contoh yang diberikan untuk kita relatekan juga adalah berdasarkan kisah harian yang kita biasa dengar tetapi bagaimana kita nak menjadikan penulisan itu lebih umph...iaitu menarik.

Apabila kita nak menulis, beberapa perkara penting ini perlu digambarkan dengan jelas dalam penulisan supaya pembaca faham dan dapat menjiwai dan merasai kisah yang akan disampaikan:

1. Tetapkan Genre
Genre atau jenis kisah yang kita nak sampaikan, adakah ia kisah romantik percintaan, komedi, romantik komedi, seram, biografi dan sebagainya. Ini perkara asas penulis mesti tetapkan sebelum memulakan karya. Tips, dalam keadaan sekarang, ramai di kalangan oembaca gemarkan novel romantik.

2. Tetapkan watak dan perwatakan
Wujudkan watak dalam kisah yang nak disampaikan. Biasanya terdapat tiga atau empat watak utama dalam sesebuah kisah. Contoh watak yang biasa digunakan ialah watak hero, heroin, watak pembantu dan watak jahat atau antagonis. Setiap watak itu juga perlu diberikan perwatakan seperti ciri-ciri fizikal, dan juga perangai atau tingkahlaku. Contohnya watak utama hero atau heroin yang digambarkan sebagai kacak/cantik, bertubuh sasa, penyayang dan sebagainya. Penceritaan watak dengan perwatakan ini perlu konsisten sepanjang penceritaan supaya pembaca dapat menjiwai atau merasai watak tersebut. Sekiranya watak perlu diubah perwatakan, maka penulis perlulah bijak mengolah agar watak dapat selari dengan perwatakan baru.

3. Tetapkan Latar Masa
Penetapan latar masa adalah bergantung kepada kisah hidup watak yang kita dah tetapkan. Latar masa boleh jadi yang sekarang, yang akan datang mahupun yang lampau. Latar masa boleh disokong dengan gambaran suasana pada masa itu. Contohnya, tahun 70an, relatekan dengan pakaian atau muzik pada zaman itu.

4. Tetapkan Latar Tempat
Latar tempat juga penting untuk gambaran di mana kisah itu berlaku. Contohnya, pergaduhan berlaku di sebuah bandar, bandar yang bagaimana, di lorong sempit kah, di dalam bangunankah dan sebagainya. Latar tempat lain yang boleh digunakan ialah sebuah daerah atau kawasan yang sedia ada, gunakan nama kawasan yang wujud atau wujudkan daerah atau kawasan baru tapi kena pastikan nama kawasan tersebut benar-benar tak wujud. 

Aku percaya penulis yang baik mampu membawa pembaca berimaginasi tentang apa yang cuba disampaikan, dan kadang-kadang, imaginasi mereka lebih dari apa yang nak disampaikan. Kalau imaginasi yang bagus, ok sebab itu akan menarik pembaca untuk terus membaca. Penulis tak boleh kawal imaginasi pembaca tetapi boleh 'guide' pembaca ke suatu dunia lain iaitu dunia kisah yang disampaikan.

Menurut Apak, penulis kena ambil tahu trend terkini tapi sampaikan dalam gaya bahasa yang lebih mudah difahami dan boleh digunapakai sepanjang zaman. Aku sangat bersetuju dengan Apak, kalau kita gunakan laras bahasa yang standard, semua orang boleh faham tapi kalau kita guna bahasa trending pada masa itu sahaja, untuk masa akan datang tak semua orang akan faham.

Setelah perkara di atas ditetapkan, sesbuah penulisan secara asasnya terbahagi kepada 3 bahagian seperti berikut:

1. Bahagian Pengenalan
Dalam pengenalan, penulis boleh menceritakan tentang watak yang ada dan sedikit jalan cerita yang akan disampaikan.

2. Bahagian Pertengahan
Di pertengahan kisah ini akan dimasukkan konflik yang berlaku bagi menambah elemen saspen dan klimaks kepada cerita yang akan disampaikan. Contoh pergaduhan keluarga berebut harta, berlakunya pertempuran dan sebagainya.

3. Bahagian Pengakhiran
Pengakhiran cerita sepatutnya ringkas dan padat, penulis tidak perlu menulis panjang atau recap kembali keseluruhan kisah kerana itu akan menjadi anti klimaks kepada apa yang berlaku di pertengahan kisah. Short and nice ending would be wonderful.



Penceramah seterusnya iaitu Zamri Mohammad. Zamri juga merupakan seorang blogger dan sebagai blogger juga, dia memahami kesukaran yang biasa dihadapi oleh blogger. Banyak point yang disampaikan memang terkena batang hidung aku. Penyampaian juga adalah bersahaja dan banyak berseloroh.

Sebelum memulakan sesi perkongsiannya, Zamri meminta kesemua peserta menyenaraikan 1-3 masalah dalam menulis. Maka dengan bersungguh semua menyenaraikan masalah masing-masing. Dalam masa beberapa minit, semua masalah tersebut telah dikumpulkan. Jika dikira-kira, lebih kurang ada 30 orang peserta dalam dewan, jika didarabkan dengan 3 masalah setiap orang, dapatlah 90 masalah. Walla..menurut Zamri, secara dasarnya ada kemungkinan 90 tajuk penulisan yang boleh dihasilkan dari masalah yang disenaraikan. Itu adalah sebagai pembuka kepada tajuk yang kita boleh fikirkan untuk penulisan. Untuk penulisan, kita juga perlu ada target group sebagai pembaca.

Aku senaraikan 2 masalah iaitu macamana nak dapatkan tajuk yang menarik dan bagaimana nak guna bahasa atau perkataan yang menarik. Secara tak langsung, masalah pertama aku selesai iaitu bagaimana mencari tajuk yang menarik untuk spesifik target readers.

Seterusnya dari tajuk, setiap idea atau point dalam penulisan yang diwujudkan perlu dikembangkan. Ini boleh kita panggil pembinaan ayat atau constructive. Contohnya nak dikisahkan masalah apa yang berlaku semasa bengkel ini sedang berlangsung, kita ulas lebih mendalam berkenaan bengkel yang akan dijalani tersebut. Cara mengembangkan idea itu boleh dibuat menggunakan jadual ringkas. Dalam jadual tersebut, boleh diagihkan kepada beberapa column sehingga kita dapatkan ayat terbaik untuk digunakan dalam penulisan.

Jadual Pembinaan ayat (memanjangkan ayat)

Menarik kan? Kalau tengok jadual di atas, dari 16 patah perkataan sahaja, akhirnya boleh mencapai lebih 60 patah perkataan.

Tajuk juga boleh difikirkan berdasarkan pengalaman atau kisah hidup kita sendiri. Contoh yang diberikan ialah pengalaman membesarkan anak, boleh dibuat untuk setiap anak yang ada. Maka dari situ sahaja, pelbagai kisah boleh kita tuliskan.

Antara perkara paling aku ingat ialah, tulis sahaja dahulu, edit kemudian. Kalau tak buat macam tu, selagi kita sibuk nak membetulkan benda yang belum kita tulis, alamatnya sampai ke sudahlah tak siap penulisan tu. Betul, terkena batang hidung aku. Sebenarnya, menurut Zamri, itu masalah ramai di antara kita bila kita terlalu memikirkan kesempurnaan jalan cerita, kesempurnaan gaya bahasa dan kesempurnaan dalam tatabahasa dan sebagainya. Akhirnya, terbengkalai penulisan tu.

Bila dikaitkan dengan blogger, contoh yang Zamri berikan, sekiranya dalam blog kita tu ada banyak sangat posting masih dalam draft yang tidak di publish, then, itu memang masalah. Sangat tepat....

Jadi, secara kesimpulannya, semua orang boleh menulis, tapi kenalah tahu kaedah dan tips untuk menjadikan hasil penulisan itu bagus dan menarik. Selamat menulis...

Makanan pagi kami telah ditaja oleh:


Restoran Nelayan Gombak
Batu 8 ¾, Jalan Gombak (6.75)km, 53000 Kuala Lumpur
Tel No : 03 - 61858400 / 013 - 2967228 / 013 - 2237228 / 019 - 2931397
FaceBook: RESTORAN NELAYAN GOMBAK              
WebSite: https://www.restorannelayangombak.com

Makanan tengah hari iatitu Beriani Kambing pula dari :
   


Cafe Cerita Kambing
Chef Zakaria : 011-3176 0227
Puan Aziah :  019-2816 308  ( tel ) / 019-3531 320 ( whatsapp )
Facebook: Nor Aziah Dahari atau Endau Briyani Caterers.


Kami juga mendapat tajaan brownies yang enak bangat dari Khaisya Delite (IG: khaisyadelite dan Minuman Jus Asam Kunyit Madu (JAKM) oleh Azrina Samsuddin (IG: i.am.anirza).

Sedap-sedap semua makanan.


2 comments: