Prolog: Bahagia Itu Bukan Milik Kita

Sambil mengesat air mata.  Dia masih terus bermenung di tepi jendela dalam bilik hotel.  Sunyi... Sangat sunyi dirasakan dalam waktu itu. Kalaulah jatuh jarum sebatang pun pasti kedengaran jua.  Begitu sunyi sama seperti hatinya. Sejuk terasa air cond yang dipasang,  sedingin apa yang dirasakan terbuku dalam hatinya.  Terbungkam dia sendirian tapi dalam hatinya penuh keriuhan yang tak dapat ditahan.

Masih terbayang wajah-wajah yang ditinggalkan termangu-mangu.  Wajah yang tidak berdosa,  wajah yang sebelum ini hari-hari ditatap tanpa jemu,  wajah-wajah yang sangat-sangat dia kasihi,  sangat-sangat dirindukan bila-bila dia berjauhan.  Tapi,  kali ini dia tekad.

Melangkah, tak berpaling,  bukan bermakna tidak ingin dilihat wajah-wajah suci itu.  Namun,  hatinya sebal,  air mata mencurah tanpa mampu dibendung.  Tidak mahu dilihat mereka bahawa air matanya itu deras bercucuran. Dipercepatkan langkah,  dipusing stereng kereta agar keluarnya dari sana dalam keadaan membelakangkan mereka.

Hanya satu persoalan yang bermain di kepalanya "Mampukah aku?"......

Dua tiga minggu kebelakangan ini memang fikirannya sangat bercelaru. Macam-macam cara dah dicuba untuk menenangkan keluh kesah dirinya sendiri namun tak berjaya.  Apa yang dibuat seolah-olah serba tak kena.  Fikirannya terus tertancap pada perkara yang merungsingkan itu. Sesuatu harus dilakukan segera.  Suka atau tidak,  dia merasakan sangat tidak betah lagi untuk berada di situ.

Jiwa dan fikiran tak selari.  Apa yang difikirkan dibantah jiwanya.  Apa mahu hati ditentang akalnya. Harus bagaimana hendak dibuat?

13 tahun dia telah mencuba.  Bukan mencuba untuk mengubah Nizam tetapi mencuba untuk menerima dia seadanya.  Cuba untuk redha dengan segala kekurangan pasangannya itu.  Namun,  ada masa dan ketikanya,  dia tewas.  Tewas dengan apa? Bisikan syaitan barangkali.  Berkali-kali juga telah ditepis keinginan untuk bebas.  Bukan kerana ingin bebas merdeka melakukan apa sahaja yang dia inginkan tapi kerana bahagia itu bukan milik mereka.

No comments:

Post a Comment